Sasterawan Negara bukan Melayu ?
Oleh Zainal Abdul Kadir
SASTERA Melayu bukan sahaja ditulis dan dibaca oleh orang Melayu tetapi turut ditulis dan dibaca oleh kaum lain di negara ini. Penglibatan penulis bukan Melayu dapat dikesan seawal tahun 1960-an dengan Amir Tan dalam bidang cerpen dan novel, Goh Thean Chye dalam bidang puisi dan terjemahan dan Joseph Selvam. Ini diikuti tahun 70-an dan 80-an muncul nama-nama penulis bukan Melayu yang kebanyakan karya-karya mereka diakui bermutu dan menerima pelbagai hadiah dan anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sehubungan itu, sastera Melayu merupakan wadah warganegara Malaysia menjayakan gagasan 1Malaysia iaitu menuntut bahawa rakyat daripada pelbagai kaum dan agama perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Justeru, jika dilihat pencapaian penulis bukan Melayu dalam bidang kesusasteraan, apakah tidak wajar Sasterawan Negara dikurniakan kepada mereka?
Jika dilihat senarai penerima Anugerah SEA Write Award sejak 1979-2012 (34 orang), ada dua nama penulis bukan Melayu iaitu Lim Swee Tin (2000) dan Jong Chiang Lai (2006) yang turut diperakui dalam bidang sastera Melayu. Malah, jika dilihat senarai penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan di peringkat antarabangsa, penerima adalah mewakili dari pelbagai negara termasuk seorang penerima tanpa kewarganegaraan.
Justeru, tanpa wujud prasangka, sebagai rakyat Malaysia, pencapaian penulis bukan Melayu dalam sastera tidak perlu dipertikaikan lagi. Tokoh penulis bukan Melayu yang dimaksudkan ialah Lim Swee Tin. Ketika artikel ini ditulis, saya mendapat tahu bahawa Lim Swee Tin baru sahaja meraikan usianya yang ke-60 tahun, dan 40 puluh tahun menceburi bidang penulisan kreatif. Kedua-duanya sangat menarik kerana ia dikaitkan dengan kematangan; kematangan usia dan kematangan dalam berkarya.
Lim Swee Tin mula menceburi bidang penulisan kreatif seawal tahun 1971 secara rasminya apabila sebuah cerpen beliau termuat dalam majalah hiburan yang popular ketika itu, Mesra. Tetapi disebabkan tarikan minat yang besar, beliau cenderung kepada puisi, dan pada tahun 1973, 14 Oktober puisi pertamanya terbit dalam Mingguan Malaysia. Dengan mengambil tarikh itu, Lim merayakan tahun ke-40-nya cergas dalam lapangan ini.
Bertolak dari situlah, Lim Swee Tin mengembang di dunia puisi Melayu. Kerap menyatakan, "Sastera Melayu sastera saya," Lim tidak boleh membaca dan menulis dalam bahasa Cina. Mempelajari bahasa itu pun terasa pelik kerana dia bermula dengan 'learn a word a day', malahan banyak mengambil tahu tentang kesusasteraan klasik China hatta perkembangan dan kemajuan kesusasteraan Cina moden pun melalui medium bahasa Inggeris atau Indonesia, hal yang sama dilakukannya tatkala mendalami kesusasteraan asing yang lain, terutama prosa Jepun moden yang sangat diminatinya.
Mempunyai kekuatan bahasa dan kreativiti seawal menyertai pelbagai aktiviti semasa di Pulau Pinang dan kemudian di Kelantan, Lim merupakan antara pengikut Sasterawan Negara Usman Awang, A. Samad Said dan beberapa yang lain yang tekun dan tekal. Maka, dengan hal yang demikian karyanya berkembang pantas. Lim memenangi Anugerah Puisiputra II pada tahun 1983 melalui kumpulan puisi Akrab yang kemudian meletakkan dirinya antara pengarang generasi baharu yang perlu diberikan perhatian.
Dengan memenangi sejumlah besar hadiah kesusasteraan, terutama Hadiah Sastera Perdana Malaysia melalui kategori puisi eceran dan hadiah utama kumpulan puisi remaja, selain Hadiah Sastera Utusan Public Bank (kemudiannya ExxonMobil), Lim memperkukuhkan dirinya melalui sejumlah puisi terjemahan. Pengalaman pentingnya diundang ke South Bank, United Kingdom, ke Amerika Syarikat, Indonesia, Brunei Darussalam, Taiwan, Singapura dan Thailand banyak memberinya pendedahan ke pentas antarabangsa.
Penobatan Lim Swee Tin sebagai penerima S. E. A. Write Award pada tahun 2000 membuktikan hasil usaha, penat lelah dan kegigihan beliau berkreatif mendapat perhatian. Sekretariat anugerah di peringkat Malaysia yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka tidak ragu-ragu menamakan beliau sebagai calon kategori puisi tahun tersebut kepada sekretariat S.E.A. Write Award di Bangkok, Thailand membuktikan kesusasteraan Melayu di Malaysia adalah milik semua. Dan, Lim Swee Tin merupakan penerima pertama anugerah ini dari kalangan pengarang yang bukan Melayu.
Karya Lim Swee Tin mendapat sorotan banyak pembicara terkemuka. Antaranya, Budi Dharma di Indonesia, Naowarat Pongpaiboon di Thailand, Ulrich Kratz di United Kingdom, dan banyak lagi. Ia tidak terkecuali dijadikan teks rujukan di Rusia bahkan di Australia juga. Ketika di Taiwan pada Taipei International Poetry Reading tahun 2001, puisi-puisi Lim berkumandang melalui medium bahasa Melayu (dengan terjemahan bahasa Cina), demikian di South Bank dalam acara Four Leading Poets from the South East Asia (dengan terjemahan bahasa Inggeris), dan Bangkok, pada acara World Peace Poetry Festival from Bangkok, Thailand (dengan terjemahan bahasa Thai). Kecenderungan beliau menyampaikan deklamasi dalam bahasa asal merupakan kesungguhannya memperkenalkan bahasa Melayu kepada khalayak dunia.
Ketika menyambut 40 tahun berkarya, Lim Swee Tin sudah mengumpulkan sejumlah 62 buah buku yang dihasilkan secara persendirian, manakala lebih 120 lagi adalah dalam bentuk antologi. Sebahagian puisi Lim turut dimuatkan dalam buku terpenting di tanah air seumpama Puisi Melayu Baharu, Malaysia dalam Puisi, The Puppeteer Wayang, Emas Tempawan/Burnished Gold, dalam untuk teks kegunaan pelajar Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah. Terkini, dua kumpulan puisi beliau (dwi-bahasa) Bond atau Akrab, (2009) dan The Moon amidst the Cogongrass / Bulan antara Lalang (2011) diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan kumpulan esei Pemikiran Kesusasteraan: Wajah dan Wadah Kebudayaan Kebangsaan, dan Bahasa di jajaran Masa: Isu dan Tanggapan (2011) diterbitkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Karya-karya Lim untuk tatapan segenap lapisan masyarakat. Tidak membataskan temanya kepada sesuatu kelompok tertentu sahaja, Lim menyelinap masuk ke sukma warga petani dan nelayan, ke redup dan gundah manusia kecil seperti pengemis dan orang gelandangan, keharmonian kampung dan negerinya, pancaroba permasalahan kehidupan semasa sehinggalah soal-soal politik juga. Lim mengangkat tema persahabatan dan persaudaraan yang tulus lagi tulen, perpaduan dan integrasi masyarakat serta bangsa, sehinggalah ke isu perang dan kekejaman di luar sana. Sebuah kumpulan 50 puisi seluruhnya bertemakan patriotisme Cakerawala Kemerdekaan (2007) barangkali satu-satu yang serupa itu pernah diterbitkan di negara kita, Malaysia. Karya beliau banyak yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Thai, Jerman, Portugis, dan beberapa lagi bahasa dunia yang lain.
Kesimpulannya, tidaklah keterlaluan bahawa idealisme sebagaimana didendangkannya melalui sajak Seorang Anak Kecil lebih 40 tahun yang lalu masih digenggamnya sehingga kini, meletakkan Lim sebaris dan setaraf dengan penulis Melayu yang membolehkan dan mewajarkan Lim dipertimbangkan dan dianugerahkan sesuatu yang paling bermakna dalam jagat kesusasteraan Melayu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20121125/sa_02/Sasterawan-Negara-bukan-Melayu#ixzz2E3W7qv3u
© Utusan Melayu (M) Bhd
Feminisme dalam Tak Seindah Impian
RAHMAN Haji Yusof
seperti menjanjikan sesuatu yang luar biasa dalam novelnya, Tak Seindah Impian yang telah dinobatkan sebagai pemenang kedua Sayembara Penulisan Novel Hadiah Sako ke-3 lewat tahun 2011 yang lalu. Novel ini mengambil latar musim kacau tahun 1950-an tatkala Tanah Melayu belum merdeka dan semangat kebangsaan sedang bangkit dalam kalangan penduduk, dengan fokus terhadap kegiatan Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang aktif keluar masuk kampung untuk berkempen kepada penduduk desa.
Menariknya, Rahman mengenengahkan tema serius ini melalui watak-watak wanita seperti Suria, Aliah dan Khadijah. Watak Suria digambarkan sebagai seorang gadis akhir remaja yang pintar berpidato dan mendapat pendidikan agama secara formal. Dia mula terlibat dengan gerakan politik apabila kampungnya, Desa Tua, di pinggir Sungai Pahang disinggahi oleh rombongan API dari Kuala Lumpur. Daripada ceramah-ceramah selepas Isyak di surau sekolahnya, Suria ditarik menyertai kumpulan ini menjelajah kampung ke kampung untuk menyampaikan ideologi pertubuhan sehingga diangkat sebagai Ketua AWAS cawangan kampungnya.
Sementara itu, Rahman turut memberi peranan besar terhadap wanita melalui watak Aliah, ibu Suria. Dia tidak terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan secara langsung seperti anaknya, namun Aliah merupakan tulang belakang Suria; dia telah memberikan kebebasan serta kepercayaan penuh kepada anaknya untuk keluar mengikut ceramah dan memberi ceramah, meski pun kerap kalinya acara-acara sedemikian berlangsung pada malam hari. Aliah juga sangat meyakini bahawa anaknya tahu menjaga keselamatan dan maruah diri, sementelah Suria merupakan satu-satunya wanita yang aktif berkempen bersama-sama rombongan API.
Tidak ketinggalan, Rahman mengangkat citra kental seorang wanita muda, seorang gadis sunti setepatnya, iaitu Khadijah. Khadijah merupakan teman baik yang dianggap laksana adik sendiri oleh Suria. Pada mulanya, Khadijah sekadar menemani Suria menghadiri ceramah pada waktu malam. Namun, lama-kelamaan, Khadijah semakin berminat dengan perjuangan Suria dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Bermula dengan perbualan dengan sahabatnya itu, Khadijah semakin terpengaruh dengan landas perjuangan pilihan Suria. Kemuncak perjuangan Khadijah adalah apabila dia mengikut Suria lari ke dalam hutan untuk menyertai Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) yang melancarkan serangan bersenjata untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajahan British.
Secara umumnya, tradisi kesusasteraan diakui sebagai bersifat androsentrik, di mana perlakuan watak-watak lelaki dalam sesebuah karya kesusasteraan sering ditanggap mewakili serta mencerminkan perlakuan umat manusia secara umum, sedangkan tingkah laku dan personaliti watak-watak wanita ditafsir berdasarkan had gendernya. Natijahnya, di mata pena penulis lelaki, kerap kali watak wanita kerap terlontar ke suatu pojok terpencil dan digambarkan sebagai "orang lain" (the other) dan tidak dipersembahkan seadilnya, selaras dengan ciri serta pengalaman kewanitaan mereka.
Oleh sebab itu, keberanian Rahman memberi suara kepada kaum wanita dalam novel ini dilihat seperti telah mendobrak konvensi sedia ada. Wanita tidak lagi didiamkan atau dikurung oleh ruang domestik, tetapi diberi tempat untuk turut menyumbang kepada masyarakat dalam ruang awam. Tambahan pula, beliau melakukan perkara ini secara konsisten, iaitu dengan memilih tiga watak yang mewakili generasi berbeza. Tidak dapat tidak, ini dapat ditafsirkan sebagai suatu penghargaan terhadap kekuatan, keberanian serta ketabahan kaum wanita yang turut menyumbang terhadap perjuangan menuntut kemerdekaan, walaupun barangkali jalan pilihan mereka itu tersasar.
Sungguh pun begitu, sejauh manakah wanita-wanita dalam novel Tak Seindah Impian ini benar-benar telah meninggalkan ciri-ciri stereotaip yang selama ini merantai mereka? Mampukah Rahman, sebagai pengarang lelaki yang tidak memiliki pengalaman kewanitaan benar-benar mewakili suara hati Suria, Aliah dan Khadijah?
Permulaan yang menjanjikan ini bagaimana pun tergugat kerana apabila wanita-wanita ini diberikan suara, mereka juga turut dipisahkan daripada sifat-sifat kewanitaan. Suria misalnya, setelah beberapa lama bersembunyi di dalam hutan dan dipertanggungjawabkan sebagai ketua kepada kumpulan kecil dalam Rejimen ke-10 PKM, telah berubah menjadi kasar dan tidak berperikemanusiaan. Dia telah mengarahkan Muslim agar membunuh bayi hasil perkongsian hidupnya dengan Khadijah kerana khuatir bayi itu akan menjadi liabititi terhadap perjuangan mereka. Jelas, Suria digambarkan sebagai seorang wanita yang taksub terhadap propaganda perjuangan mengangkat senjata demi membebaskan tanah air sehingga terhakis perasaan keibuannya, hatta kepada anak teman baiknya sendiri.
Mengapa hal serupa ini berlaku? Apakah maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh Rahman dalam novel Tak Seindah Impian ini? Apakah Rahman sebetulnya sedang menghukum wanita, dengan menggambarkan bahawa kehilangan sifat kewanitaan itu merupakan harga yang perlu dibayar oleh seorang wanita yang berani mengorak langkah menjejak dan turut menguasai ruang yang selama ini didominasi oleh lelaki?
Menurut penyair, sarjana dan feminis Anne Reinhardt: "...femaleness must become invisible - by its immersion in male concerns - in order to become visible on the classical dramatic stage."
Ungkapan ini menjelaskan kepada kita bahawa dalam sesebuah karya, wanita yang diangkat sebagai berjaya di luar ruang kelazimannya mestilah menyembunyikan sifat feminin dan harus pula membalut dirinya dengan sikap yang lebih berunsur maskulin. Secara tidak langsung, situasi ini seolah-olah menggambarkan bahawa karya kesusasteraan seperti novel Tak Seindah Impian, masih terikat dengan acuan kesusasteraan androsentrik, di mana pengalaman kelelakian dianggap sebagai pengalaman universal.
Sungguh pun begitu, sejauh manakah kebenaran pernyataan Reinhardt ini? Sesungguhnya, percubaan Rahman mengangkat watak-watak wanita dalam novel ini wajar dilihat sebagai usaha untuk mengiktiraf sumbangan wanita dalam perjuangan sepenting tuntutan kemerdekaan. Pelukisan watak-watak wanita yang kemudiannya dihadkan itu sebenarnya mengundang satu lagi persoalan yang perlu dijawab:
Apakah Rahman sebenarnya sedang memberitahu kita bahawa lelaki dan wanita mempunyai peranan yang berbeza lagi saling melengkapi, maka kejayaan mereka haruslah diukur dalam batas berkenaan?
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20121104/sa_03/Feminisme-dalam-Tak-Seindah-Impian#ixzz2E3X3nhmC
© Utusan Melayu (M) Bhd
luminasi dalam karya S.M Zakir
Oleh Mohd Ali Atan
GEORGE F. Kneller dalam The Art and Science of Creativity (1965) menerangkan proses kreatif yang berlaku pada penulis dan saintis. Dalam proses kreatif terdapat lima fasa iaitu fasa pemerolehan idea utama, fasa persediaan, fasa pengeraman, fasa iluminasi dan fasa pengesahan. Tulisan ini menumpukan pada fasa iluminasi dalam mengkaji kreativiti cerpenis S.M Zakir.
Fasa iluminasi merupakan tahap yang mengarah ke puncak di mana setiap penulis menyatakan mereka mendapat ilham atau inspirasi baharu yang memperkemaskan lagi karya.
Pada tahap ini idea tambahan yang diperoleh secara alamiah dan insaniah ini merupakan tahap yang paling unggul bagi sesetengah penulis. Penulis melalui tahap keseronokan menulis dan inspirasi mencurah memperkuatkan keyakinannya. Pada tahap ini juga karya akan ditulis, ditentukan bentuk dan langgamnya, serta modifikasi sesuai dengan mood, inspirasi dan ilham baharu yang diperolehnya.
Dalam fasa iluminasi terdapat beberapa senarai keadaan yang dinyatakan oleh Kneller iaitu insiprasi, ilham atau idea baharu, kesulitan, klimaks, ketergantungan masalah, penyelesaian masalah dan keseronokan atau kepuasan.
Dalam konteks penciptaan cerpen, fasa iluminasi berlaku sama ada secara sedar atau di bawah sedar atau serentak. Jika ia berlaku secara sedar, penulis telah memulakan proses penulisan sama ada secara bertaip atau tulis tangan.
Jika berlaku di bawah sedar ia hanya berlegar dalam fikiran penulis dan tersimpan dalam memori ingatannya. Lazimnya proses ini berlaku dalam dua keadaan serentak iaitu idea yang dimatangkan dalam fikiran bawah sedar dan dizahirkan sama ada melalui komputer ataupun tulis tangan.
Ia adalah suatu perkembangan daripada idea utama yang menumbuhkan cabang-cabang persoalan dan permasalahan yang menjurus kepada kemuncak serta gambaran penyudahannya sama ada diselesaikan atau dibiarkan tergantung begitu sahaja.
Kneller memberikan urutan yang berlaku di fasa iluminasi tersebut. Urutan tersebut dapat dilihat selepas penulis melalui fasa pertama-penulis mempunyai idea utama untuk dikreatifkan dalam bentuk karya cerpen.
Pada fasa kedua, persediaan-penulis melakukan rujukan semula bahan bacaan yang telah menyumbang kepada kelahiran dan kemunculan idea pertama tersebut. Pada fasa ketiga, inkubasi-penulis memeram idea dan bahan mentah di fikiran bawah sedar. Pada fasa keempat, iluminasi-penulis mendaki tingkat penciptaan di mana penulis mematangkan idea terdahulu dengan inspirasi dan pemerolehan ilham atau idea baharu, menemui kesulitan atau galangan halangan dalam meneruskan penulisan.
Jika penulis mampu melepasi galangan-halangan ini penulis akan menemui klimaks dalam penciptaan sama ada untuk menyelesaikan konflik, masalah dan permasalahan yang telah wujud sebelumnya ataupun membiarkannya tanpa penyelesaian dan pembaca sendiri memberikan tafsiran sendiri.
Berdasarkan temu bual yang dilakukan inspirasi bagi penulis ialah pembacaan. Apabila penulis membaca sesuatu karya, penulis mempunyai pandangan yang ingin dilontarkan sama ada ingin menyokong atau menyambung pandangan tersebut atau membantah atau memberikan pandangan lain.
Justeru inspirasi daripada pembacaan menyumbang kepada pemerolehan idea dan ilham baharu yang tidak terfikir sebelum ini. Apabila penulis meneruskan penulisannya, terdapat galangan-halangan seperti kecelaruan dalam memilih konsep atau falsafah tertentu untuk dipilih atau diutamakan.
Jika penulis tidak dapat memecah galangan-halangan tersebut penulis akan 'merayap' atau berjalan-jalan, bersama kawan-kawan, famili dan ada kalanya bersendirian. Apabila penulis dapat meneruskan kembali penulisannya, maka penciptaan karya tersebut tiba di peringkat klimaks atau kemuncak konflik.
Penulis mengakui terdapat karya yang diberikan penyelesaian dan cerpen yang tidak diberikan penyelesaian atau tergantung. Penulis mengakui terpengaruh dengan Roland Barthes yang menyatakan "Pengarang sudah mati." Penulis tidak memberikan justifikasi atau hukuman terserah kepada pembaca jadi apa sahaja tafsiran pembaca. Bagi S.M Zakir, penulis bukanlah hakim atau hukama.
Penulis hanyalah pembias terhadap apa yang berlaku. Apabila penulis memberikan hukuman fungsi pembaca akan mati. Penulis tidak boleh terlalu autokratik. Jika penulis autokratik karyanya akan menjadi karya yang beku, kaku dan suatu utopia. Penulis seharusnya menghormati pembaca agar pembaca dapat turut serta dalam pengkaryaan. S.M Zakir meyakini kebijaksanaan pembaca dalam mentafsirkan karya. Apa saja hasil tafsiran pembaca terhadap karyanya adalah benar dan betul.
Keseronokan dan kepuasan penulis dalam penciptaan dapat dilihat menerusi fasa iluminasi ini iaitu karya yang menemui konflik yang berat dan penyelesaian karya. Berkenaan keseronokan dan kepuasan berkarya S.M Zakir menjelaskan terdapat dua perkara.
Pertama semasa menulis penulis merasakan bebas daripada masalah rutin dan masalah kerja. Kedua menulis perkara yang sengaja mencari masalah, kompleks, berat, lagi berat lagi pengarang gemar. Pada masa yang sama penulis melupai masalah di dunia realiti tetapi menyenangi untuk memberatkan fikirannya dalam dunia pemikiran.
Banyak persoalan dan permasalahan dunia realiti mendapat perhatian daripada penulis. Terutama berkaitan politik dan sejarah. Namun demikian banyak persoalan dan permasalahan politik dan sejarah di dunia realiti tidak dapat diselesaikan oleh penulis.
Justeru penulis mengakui sebab tidak dapat menyelesaikan di dunia realiti maka penulis dapat menyelesaikan persoalan dan permasalahan dalam dunia imaginasi penciptaan karya kreatif. Penulis mengakui bahawa sebahagian pandangan dalam psikoanalisis adalah benar.
Hal ini berbeza dengan konsep katarsis. Katarsis dalam Platonalisma ialah setelah seseorang melalui tragedi. Katarsis sebagai suatu bentuk kesedaran diri atau disebut juga sebagai nirvana. Konsep nirvana bermaksud mengenali diri sendiri yang hina dan tertakluk kepada takdir. Kepuasaan bermaksud dalam konteks pelepasan perasaan sahaja dan tingkatannya lebih rendah daripada katarsis.
Bagi S.M Zakir katarsis adalah sama sebagai bentuk kesedaran. Misalnya dalam penciptaan cerpen Menyirat Nirmala, penulis mendapat katarsis tentang kebesaran Tuhan. Semasa menulis boleh berlaku kesesatan atau tragedi, tetapi akhirnya berlaku kemuncak dan katarsis sehingga berlaku pencerahan dan kelegaan selepas menyelesaikan karya khususnya cerpen yang berbaur filosofikal. Misalnya penciptaan cerpen Menyirat Nirmala dan Enigma daripada Sebuah Neoumena sebuah cerpen transendental. Dalam cerpen Enigma, watak Serf hilang begitu sahaja atau lebur.
Dalam Menyirat Nirmala, watak utamanya mati kemudian kelahiran seorang budak yang lain. Ia bukan kelahiran semula. S.M Zakir membiarkan dirinya terbawa. Ia membawa konsep peleburan diri seperti setitis air jatuh dalam lautan atau besi terbakar dalam api. Manusia pada suatu masa mempunyai kesedaran untuk lebur dalam kebenaran. Para penulis Barat menggunakan stimulan dalam merangsang kreativitinya di fasa ilmuminasi. Namun demikian S. M Zakir tidak menggunakan sebagai stimulan sama ada opium, dadah dan alkohol untuk merangsang kreativitinya. Ini menunjukkan S.M Zakir seorang yang kuat jati dirinya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20121028/sa_02/Iluminasi-dalam-karya-SM-Zakir#ixzz2E3XZC1wa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Antara fiksyen dan realiti
Oleh MARSLI N.O
[email protected]
SIAPA sahaja yang mengaku dirinya penulis dan berusia sekitar 30 tahun ke atas atau lebih awal sedikit daripada itu, pasti mengenal siapa Sutung Umar RS atau nama sebenarnya Wan Omar bin Wan Ahamed ini. Sebagai penyair, editor majalah sastera dan pengelola ruangan sastera di akhbar, nama Sutung Umar RS memang sangat dikenali. Malah, selain itu, beliau juga merupakan salah seorang pendiri Grup Teater Elit bersama Dinsman yang memulakan dan mengaktifkan acara baca puisi sehingga di hotel-hotel mewah sekitar Kuala Lumpur awal tahun 1980-an.
Namun sebagai pengarang cerpen, kehadiran Sutung seolah-olah tidak begitu disedari dan dirasai. Apa lagi dengan pembawaan diri peribadinya sendiri yang memang sentiasa berkerja secara diam-diam. Beliau seolah-olah lebih senang menjauhi segala bentuk publisiti murahan.
Kerana itulah, kehadiran antologi Anggerik Dari Bukit Tujuh yang memuatkan 12 cerpen Sutung Umar RS ini amat menarik perhatian untuk dilihat dan diteliti pokok persoalan dan mungkin juga, kelebihan tertentu yang selama ini tersembunyi daripada pengetahuan banyak orang mengenai kemampuannya mengarang cerpen.
Cerpen-cerpen di dalam antologi ini yang mungkin ditulis Sutung lebih awal sebelumnya merupakan karya beliau yang telah disiarkan seawal bulan September tahun 1990 di majalah Dewan Budaya dan di media lain seperti Berita Minggu, Dewan Sastera dan Mingguan Malaysia hingga ke rentang tahun 2011. Sementara sebuah cerpen berjudul Halusinasi diakui dan dicatatkan sebagai belum pernah tersiar.
Membaca cerpen-cerpen di dalam antologi ini kita berhadapan dengan dugaan dan prasangka yang mendorong kepada pertanyaan apakah yang ditulis Sutung memang fiksyen atau sesuatu yang real.
Dugaan dan prasangka ini muncul lantaran kebanyakan nama watak dan tempat di dalam kebanyakan cerpen Sutung adalah nama yang wujud pada alam realiti dan lokasinya dapat dipastikan. Apa lagi bagi mereka yang agak dekat dengan Sutung, nama-nama watak seperti dalam cerpen Negeri Wayang di halaman 99 atau di dalam cerpen Halusinasi di halaman 131 dan 132 memang bukan watak yang difiksyenkan.
Tetapi apakah menulis cerpen secara demikian, maksudnya, dengan mengambil peristiwa-peristiwa yang benar berlaku, watak dan latar yang juga benar, yang dijadikan sebuah cerita pendek menjadikan suatu kesalahan?
Di sinilah kelihatan betapa Sutung Umar RS selaku pengarang cerpen benar-benar memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan sasteranya secara yang dapat dikatakan bijaksana.
Sebuah karya sastera pada hakikatnya memang sebuah karya sastera. Walau apa pun yang menjadi titik tolak, apakah itu suatu peristiwa dan didokong oleh watak-watak yang benar-benar wujud, pada akhirnya, bila diberikan baju kreatif, segalanya menjadi samar dan berbaur.
Nama-nama watak sebagai Rahimidin Zahari atau Marsli seperti disebutkan di dalam cerpennya Di Negeri Wayang barangkali adalah nama yang benar-benar wujud dan berjasad.
Tetapi apakah tidak, di negeri lain bernama "wayang" nama-nama itu sebenarnya bukan zahir dalam bentuk jasad, sebaliknya hanyalah suatu permainan duga dan prasangka juga, yang tidak lebih suatu rekaan dan tiada hubung kait sama ada dengan yang hidup atau yang telah pergi.
Sutung Umar RS kelihatannya tidak pernah berasa segan atau berasa perlu untuk menyembunyikan kenyataan dan kebenaran sesuatu peristiwa sama ada yang benar-benar melibatkan dirinya sendiri, mahupun sesuatu yang hanya dibayang serta direka-rekakan di dalam imaginasinya sendiri.
Di tangan kreativiti Sutung Umar RS realitas dipermainkannya sekehendak hatinya. Malah kadang-kadang seperti dengan sengaja disemberonokan. Perhatikan bagaimana plot atau susun atur cerita di dalam cerpennya Dia dan Nya di halaman 1 dan Laaaoo! di halaman 59. Memang ada cerita yang ingin disampaikan. Tetapi tidak dijelaskan secara tuntas oleh Sutung. Pembacalah yang perlu mencari dan menyusunnya sendiri.
Di tangan Sutung, susunan atau alur peristiwa dijadikan seperti kepingan kad indeks atau puzzle. Untuk mengetahui lebih lanjut, pembacalah yang mesti mencari, menyusun dan kemudian, jika mahu, boleh menyusunnya lagi dengan citarasa dan pendekatan yang berlainan. Dengan demikian, sebuah cerpen Sutung, boleh dibaca daripada pelbagai perspektif dan citarasa.
Mungkin memang benar apa yang dituliskan Sutung adalah sesuatu yang benar terjadi. Mungkin juga ada antara kita sebagai pembaca cerpen-cerpen Sutung di dalam antologi ini pernah mendengar sok-sek mengenai sesuatu tentangnya. Tetapi itu bagi yang pernah mendengar dan hakikatnya pula, kebenaran apa yang didengar itu pun masih belum dapat disahih serta dipastikan oleh setiap kita.
Lalu akhirnya, sebuah karya sastera, maksudnya cerpen-cerpen Sutung Umar RS yang sedang dibaca, akan mahu atau tidak dikembalikan hakikatnya kepada persoalan sastera.
Mungkin kita selaku pembaca masih tetap berasa ragu atau seperti dipermain-mainkan antara untuk mempercayainya sebagai sesuatu yang ada, atau menerimanya sebagai apa adanya sebagai sebuah karya sastera.
Itulah hakikatnya sebuah karya sastera. Tiada batasan yang menentukan benar dan salahnya kerana telah mengeksploitasikan unsur-unsur realitas miliknya. Siapa pun dia sebagai pengarang, tiada siapa yang boleh menuduhnya sebagai "bersalah" kerana menjadikan kebenaran dan realitas (kalau pun kebenaran dan realitas itu memang ada) sebagai bahan cerita atau titik bertolak sesebuah karyanya.
Sebuah cerpen memanglah mengandungi cerita. Siapakah yang menjadi pelakunya, di manakah berlakunya, bukan suatu isu yang besar. Jadi jika demikian apa yang patut dan perlu menjadi isu? Jawabnya, sejauh mana pengarang bijak dan pintar mengadunkan segala bahan yang dimiliki sehingga berjaya menjadi sebuah cerpen yang enak dan seronok dibaca.
Soalnya apakah siapa yang terlibat dan apakah benar-benar berwujud jasadnya, hanyalah persoalan yang sangat bersifat sensasi dan terlalu didorong oleh perasaan bejat. Sebagai pengarang dan manusia biasa, Sutung Umar RS pasti sahaja punya kekurangan dan kelebihannya yang tersendiri dan kita selaku pembaca bukanlah hakim yang sungguh mulia untuk menilai buruk baik orang lain.
Tetapi sebagai pengarang cerpen, melalui antologi cerpen pertamanya, Anggerik Dari Bukit Tujuh ini, Sutung sudah membuktikan bahawa bahan untuk dirangkaikan menjadi sebuah cerpen itu ada di mana-mana: di bukit, di bangsal wayang kulit, di rumah Pena, di kedai kopi Wan Zain atau di mana sahaja.
Melalui antologi cerpen ini, Sutung Umar RS membuktikan bahawa sebuah cerpen boleh bertolak dan bermula dengan dan di mana sahaja. Di tangan kreatif Sutung, sebuah cerpen adalah seperti indahnya sekuntum anggerik, walau tanpa bau, kembangnya berlanjut agak lama.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20121028/sa_03/Antara-fiksyen-dan-realiti#ixzz2E3YLZeu3
© Utusan Melayu (M) Bhd